6 Kelebihan Program Matrikulasi KPM

Program Matrikulasi diwujudkan pada tahun 1998 merupakan satu program persediaan bagi pelajar Bumiputera untuk melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi dan sastera ikhtisas ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara. 


Berdasarkan keperluan semasa bagi menampung pertambahan jumlah pelajar cemerlang, mengisi kekosongan tempat di bidang-bidang sains, profesional dan kritikal khususnya pelajar Bumiputera di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), pada tahun 1998, Yab Dato’ Sri Najib bin Tun Haji Abd. Razak, yang pada ketika itu Menteri Pendidikan telah mencetuskan idea mewujudkan Program Matrikulasi di bawah kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyeragamkan semua Program Matrikulasi/Asasi yang selama ini dikendalikan oleh IPTA. Sumber


1. Jurusan Pengajian di Matrikulasi

3 Jurusan Utama Matrikulasi: Jurusan Sains, Jurusan Perakaunan dan Jurusan Teknikal. Jadi, anda boleh memilih jurusan mengikut kelayakan dan subjek yang diambil semasa di sekolah menengah. Mata Pelajaran Teras bagi setiap bidang adalah seperti berikut:


1) Jurusan Perakaunan

Matematik, Perakaunan, Pengurusan Perniagaan dan Ekonomi.


2) Jurusan Sains

a) Modul I  (Matematik, Kimia, Fizik, Biologi)

b) Modul II (Matematik, Kimia, Fizik dan Sains Komputer)

c) Modul III (Matematik, Kimia, Biologi  dan Sains Komputer)


3) Jurusan Teknikal

Matematik, Kimia Kejuruteraan, Fizik Kejuruteraan, Pengajian Kejuruteraan.

 

Ada beberapa mata pelajaran wajib yang anda perlu ikuti:


1) Bahasa Inggeris: Mempelajari kaedah mudah untuk skor MUET


2) Kemahiran Dinamika: Kelas berasaskan trait personaliti individu, komunikasi, berdaya tahan dan berinovatif. Subjek ini sangat menarik kerana berkait dengan penguasaan kemahiran seperti kepemimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan.


3) Pendidikan Islam/Moral


4) Satu daripada mata pelajaran kokurikulum berikut:

a) Sukan/Permainan

b) Persatuan/Kelab

c) Kawad Kaki

 

2. Kos Pengajian yang Ditawarkan di Matrikulasi

Pelajar Program Matrikulasi dibiayai oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Permohonan boleh dihantar melalui matrikulasi masing-masing selepas menerima tawaran kemasukan. Kos pengajian dan penginapan ditanggung oleh Kerajaan. Pelajar hanya perlu membayar yuran pendaftaran.

 

Setiap pelajar akan mendapat elaun bulanan. Elaun ini sangat membantu bagi mengurangkan kos pengajian, keperluan harian, buku-buku rujukan dan lain-lain. Setiap pelajar akan mendapat elaun bulanan sebanyak RM250.

 

3. Sambung Ijazah Sarjana Muda di Universiti Awam & Universiti Luar Negara

Program Matrikulasi diiktiraf oleh semua universiti awam dan turut diiktiraf oleh universiti terkemuka luar negara. Bagi pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke luar negara, pihak matrikulasi akan menaja pelajar secara percuma bagi pelajar cemerlang yang memenuhi syarat dan kelayakan tertentu.


Antara universiti luar negara yang menerima lepasan Matrikulasi adalah: King’s College London, University College London, University of Bristol, University of Manchester, University of Birmingham, University of Nottingham dan lain-lain. Semak senarai penuh universiti di sini.


Pelajar lepasan matrikulasi yang memperoleh PNGK 2.00 dan ke atas akan dipertimbangkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di mana mana IPTA seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin dan lain-lain.


4. Menjawat Jawatan Dalam Perkhidmatan Kerajaan

Sijil Matrikulasi juga diterima oleh JPA untuk menjawat jawatan dalam perkhidmatan kerajaan. Lepasan Program Matrikulasi KPM akan menerima Sijil Matrikulasi yang melayakkan mereka memohon berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam pada Gred 29 dalam 39 skim perkhidmatan. Klik link ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang halatuju selepas matrikulasi.

 

5. Tempoh Pengajian Matrikulasi

Program Matrikulasi adalah satu jalan pintas kerana anda boleh terus menyambung ke pringkat ijazah sarjana muda setaraf dengan STPM.


a) Program Satu Tahun (PST): 2 Semester

b) Program Dua Tahun (PDT): 4 Semester


Penawaran program adalah bergantung kepada keputusan SPM anda bagi subjek tertentu. Anda juga diberi peluang untuk membuat penukaran bidang pada awal pendaftaran atas budi bicara pihak atasan.



6. Suasana Belajar Sangat Kondusif

Lepasan matrikulasi pasti akan merindui segala kemudahan dan infrastruktur yang lengkap tersedia di matrikulasi serta semangat belajar bagi pelajar secara berkumpulan yang sangat kuat di sini. Kebiasaannya cara belajar secara berkumpulan dipraktikkan di matrikulasi bagi mengejar masa untuk memahami silibus dengan mudah lebih lebih lagi yang mengambil PST.

 

Pelajar di matrikulasi mempunyai satu persekitaran belajar yang sangat baik kerana mereka sangat saling membantu dalam setiap subjek disebabkan kumpulan kecil bagi setiap kelas. Selain itu, anda tidak perlu berjalan dengan terlalu jauh untuk ke kelas kerana kelas, dewan kuliah dan sebagainya tidak terlalu jauh dari kawasan kediaman pelajar. Kediaman yang disediakan juga bersaiz sederhana bersar dan dikongsi oleh 4 orang pelajar amat selesa. Ruangnya agak besar dan setiap pelajar mempunyai sudut belajar sendiri di dalam bilik.


Kebanyakan pensyarah di Matrikulasi sangat berdedikasi dan penyayang. Pensyarah di Matrikulasi sangat membantu pelajar dalam memberi kefahaman yang lengkap dan bersedia untuk meluangkan lebih masa bagi pelajar yang memerlukan. Mereka sangat senang didekati dan biasanya akan menggalakkan pelajar berjumpa secara peribadi di kubikel (bilik guru) untuk apa-apa bantuan. Mereka sangat gembira jika pelajar sendiri berusaha untuk membantu diri mereka dengan cara berjumpa pensyarah.

Post a Comment

0 Comments