20 Soalan Lazim Tentang Institut Pendidikan Guru (IPG)


Sekarang ramai pelajar-pelajar sekolah yang berminat untuk menjadi guru. Selain memasuki universiti, IPG adalah salah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan. Saya adalah bekas pelajar IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, jurusan B.Ed TESL.


1. Apakah itu IPG?

IPG adalah singkatan kepada Institut Pendidikan Guru. IPG melatih bakal guru di peringkat sekolah rendah. Saya adalah kumpulan terakhir di IPG yang melahirkan guru sekolah menengah melalui program berkembar.

 

2. Berapa lama tempoh pengajian di IPG?

5 tahun. 1 tahun pertama adalah Program Persediaan ljazah Sarjana Mudah Perguruan (PPISMP) & 4 tahun seterusnya adalah Program ljazah Sarjana Mudah Perguruan (PISMP).

 

3. Berapakah yuran pendaftaran IPG?

Kebiasaannya dalam lingkungan RM500 sahaja dan hanya perlu bayar sekali sahaja sepanjang tempoh 5 tahun. Saya dulu bayar RM380.

 

4. Berapa elaun IPG?

Ini antara kelebihan menjadi pelajar IPG. Anda akan diberi elaun sebanyak RM430 sebulan. Zaman saya dulu RM720. Jangan tanya kenapa berkurang dan jangan pertikai rezeki kamu terdahulu. Saya pun tidak tahu. Elaun adalah berbeza dengan pinjaman pembelajaran seperti PTPTN.


5. Ada elaun lain selain elaun bulanan?

Ada iaitu elaun perjalanan/pengangkutan sebanyak RM500 setahun dan boleh dituntut dengan syarat-syarat tertentu. Selalunya, elaun ini dituntut oleh pelajar dari Sabah dan Sarawak semasa belajar di semenanjung dan sebaliknya.

 

6. Perlu bayar balik tak elaun selepas tamat pengajian?

Anda tidak perlu bayar balik elaun bulanan selepas tamat pengajian. Tapi, anda perlu berkhidmat sebagai guru dalam tempoh tertentu. 5 tahun rasanya. Jangan nak lari ye…nanti kena bayar balik. Selepas itu, terpulang kepada anda sama ada anda mahu teruskan akan berhenti.


7. Terjamin tak kerjaya selepas habis IPG?

Ya. Ini kerana IPG adalah institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Jadi, tak perlu risau isu tidak mendapat pekerjaan selepas graduasi. Namun, anda masih perlu melalui proses temuduga dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sebelum mendapatan penempatan. Semasa proses temuduga, jangan pula cakap “Saya sebenarnya tidak berminat untuk menjadi guru. Ibu saya yang suruh.” Kalau begini jawapan anda, boleh jalan ye.

 

Sebelum terlupa, walaupun pekerjaan dijamin, jangan pula bersenang lenang dan buat masalah semasa belajar di IPG. Anda masih tertakluk di bawah Akta 174. Silap langkah, boleh dibuang.

 

8. Bagaimana sistem pembelajaran di IPG?

Sedikit berbeza dengan universiti. Anda bermula pada pukul 8.00 pagi dan habis mengikut jadual yang ditetapkan. Jika di universiti, anda mungkin memulakan kelas pada pukul 9.00 pagi dan kelas kedua bermula pukul 12 tengahari.

 

Setiap kelas biasanya akan mempunyai 15 sehingga 20 orang. IPG sangat menekankan kemahiran komunikasi. Jadi, anda akan membuat banyak tugasan dalam bentuk pembentangan.

 

9. Berapa subjek setiap semester?

Bergantung kepada jurusan dan semester. Pengalaman saya di IPG, secara purata adalah sebanyak 6 hingga 8 subjek satu semester, kecuali semasa tempoh praktikum 3 bulan.

 

10. Berapa pointer untuk Anugerah Dekan?

3.75 dan ianya selaras untuk semua IPG di seluruh Malaysia. Berbeza di universiti kerana setiap universiti menetapkan pointer yang berbeza bagi anugerah dekan. Pointer semasa PPISMP tidak dikira. Pengiraan hanya akan bermula semasa tahun pertama PISMP. Pointer dikira hasil daripada tugasan dan peperiksaan akhir.

 

11. Pakaian pula macam mana di IPG?

Sama macam guru-guru di sekolah. Tanda nama adalah wajib.

Lelaki: Baju kemeja, tali leher, seluar slack,  berkasut & bertali pinggang.

Perempuan: Baju kurung dan berkasut (muslim). Bagi yang bukan muslim, anda dibenarkan memakai blaus dan skirt labuh.

Hari Khamis: Batik.

 

12. Ada asrama tak di IPG?

Ada. Selalunya 2 orang setiap bilik. Anda tidak akan kekal di bilik yang sama dari awal hingga akhir pengajian. Jadi, jangan simpan barang yang terlalu banyak. Di IPG Kampus Bahasa Antarabangsa sedikit berbeza kerana anda akan ditempatkan di dalam rumah (5 bilik dalam setiap rumah). Saya pernah berada di bilik D & bilik E (bilik terbesar) dengan populasi 2 & 3 orang.

 

13. Boleh memasak ke di asrama?

Tak boleh, atas faktor keselamatan. Sekiranya anda curi-curi bawa multipurpose cooker jenama Sharp, Cornell mahupun Midea dan berlakunya kemalangan seperti kebakaran, bersiap sedialah menghadap Hal Ehwal Pelajar (HEP).

 

14. Boleh bawa kenderaan tak di IPG?

Boleh. Tapi, bergantung kepada pengurusan di IPG. Ada IPG yang benarkan seawal tahun pertama PISMP dan ada juga yang benarkan semasa tahun kedua. Pinjam dulu kenderaan senior jika perlu, tapi jangan lupa isi minyak.  

 

15. Minum dan makan disediakan ke?

Tidak. Hal ini kerana IPG bukan Taska, Tadika mahupun Pro Sekolah. Ada elaun, beli sendiri di kantin. Lepas habis kuliah, pergilah makan di luar kerana kantin tutup waktu petang.

 

16. Keluar/masuk di IPG macam mana?

Setiap IPG dia mempunyai peraturan yang berbeza. Saya nak tulis pun takut salah. Tapi pandai-pandai lah hidup. Dah besar kan.

 

17. Cuti IPG sama seperti cuti sekolah?

Sejak 2020, cuti IPG tidak lagi sama seperti sekolah. IPG mempunyai cuti sendiri dan jika anda ingin tahu, masuklah IPG.

 

18. Apakah barangan keperluan yang perlu dibawa ke IPG?

Paling penting adalah laptop dan printer. Printer boleh kongsi dengan kawan. Barangan peribadi tidak perlulah disentuh sebab setiap orang berbeza. Saya pernah ada kawan bawa bantal busuk dia yang sudah berusia sekitar 20 tahun. Hazab juga ya.

 

19. Macam mana dengan aktiviti dan sukan di IPG?

Banyak sangat dan agak sama seperti sekolah. Anda juga akan mendapat unit beruniform dan rumah sukan. Kursus  kejurulatihan dan kepengelolaan juga akan diberi supaya anda akan menjadi guru yang tip top meletopppp. Nombor syatuuuuuu dik!


20. Boleh pilih ke nak pergi IPG mana?

Tidak boleh. Terima sahaja takdir dan ketentuan. Sekiranya anda mempunyai masalah yang memerlukan anda untuk berada di IPG berdekatan tempat tinggal anda, itu semuanya boleh dibincangkan setelah anda mendapat penempatan.

 

Sekian.

Post a Comment

0 Comments